Monday, November 17, 2008

Ramai rakyat Malaysia berbelanja melebihi pendapatan

Ramai Rakyat Malaysia Berbelanja Melebihi Pendapatan

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Sebahagian besar rakyat negara ini berbelanja lebih daripada pendapatan tahunan mereka untuk membeli produk yang bukan merupakan barangan keperluan asas.

Menurut kajian Indeks Keutamaan Pembelian Pengguna yang dijalankan oleh MasterCard Worldwide, sejumlah 79 peratus rakyat Malaysia berbelanja lebih 10 peratus daripada pendapatan tahunan mereka atas barangan seperti kasut, pakaian dan aksesori manakala 15 peratus membelanjakan lebih 40 peratus daripada gaji tahunan mereka untuk barangan yang sama.

''Kira-kira 59 peratus akan dibelanjakan untuk tujuan hiburan dan makanan, 49 peratus untuk pelancongan dan fesyen manakala 42 peratus dihabiskan pada aksesori untuk tempoh 12 bulan akan datang,'' demikian menurut satu kenyataan di sini, hari ini.

Kajian itu juga menunjukkan 70 peratus pengguna di rantau Asia Pasifik akan mula mengehadkan perbelanjaan mereka terhadap barangan sebegini pada tahun hadapan.

Hiburan dan makanan merupakan yang paling utama dalam perbelanjaan pengguna di 11 daripada 14 buah negara di Asia Pasifik kecuali di India, Korea dan Filipina yang mana kebanyakan pendapatan tahunan mereka dibelanjakan bagi pendidikan anak-anak, tambahnya.

Taiwan, Filipina dan Korea didapati antara negara yang akan mengurangkan perbelanjaan mereka berbanding New Zealand, Australia dan China yang menunjukkan sikap daya tahan pada tahun hadapan.

Kajian tahunan yang membabitkan kira-kira 6,019 pengguna di 14 buah pasaran di Asia Pasifik dibuat sepanjang September lalu.

Dari segi jantina pula, 69 peratus pengguna lelaki didapati kurang cenderung untuk mengurangkan perbelanjaan mereka berbanding wanita yang akan mengehadkan 71 peratus perbelanjaan mereka.

Golongan yang berusia 30 tahun ke bawah juga didapati kurang cenderung untuk mengurangkan perbelanjaan mereka berbanding mereka yang berumur 56 tahun ke atas.


Utusan Malaysia
18-Nov-2008

1 comment:

UMNO PARTI PENJARA said...

Bila dah kurang, baru kita rasa kehilangan sesuatu :-)
















Forum Generasi Muda
http://Forum1Malaysia.blogspot.com
Blog Pilihan Generasi Muda
http://pro-faizal.blogspot.com
Aura Baru Pemuda UMNO
http://TeamPemudaUMNO.blogspot.com